Awan Band - Google Blog Search |
JALAN - <b>Awan Band</b> Seronok Bercuti Dengan GUA - Gua.com.my Posted: 14 Sep 2012 08:55 PM PDT Sempena meraikan ulangtahun GUA yang kelima, baru-baru ini GUA telah membawa beberapa pembaca GUA bercuti ke Tanah Aina, Raub, Pahang bersama kumpulan muzik yang popular dengan lagu "Lintasan Bintang", Awan Band.
Percutian yang ditaja oleh pengurusan Tanah Aina ini cukup menyeronokkan kerana sepanjang dua hari satu malam itu kami berpeluang mengikuti beberapa aktiviti menarik. Paling penting, percutian singkat ini memberi ruang untuk kami berehat serta mendekatkan diri dengan kehijauan alam. Lupa segala masalah di tempat kerja.
Hendak tahu apa aktiviti yang sempat kami lakukan? Jom ikuti catatan GUA ini. Kalau berkenan, bolehlah merancang percutian ke Tanah Aina nanti. Seronok! Lebih-lebih lagi kalau bercuti bersama sekumpulan rakan-rakan yang 'sporting'.
Perjalanan ke Tanah Aina dari Kuala Lumpur tidak mengambil masa yang terlalu lama. Kira-kira satu jam setengah masa pemanduan sahaja. Bagaimanapun, untuk sampai ke sini anda tidak boleh membawa kenderaan sendiri, kerana laluannya tidak mengizinkan. Hanya kenderaan pacuan empat roda dan lori kecil sahaja yang boleh melalui laluan ke lokasi percutian ini.
Baiklah, GUA tidak mahu bercerita secara terperinci tentang tempat ini kerana mahu menyimpan sedikit informasi untuk ulasan selanjutnya. GUA mahu dapatkan komen Awan Band serta pembaca terpilih tentang percutian julung-julung kali ini.
Menurut Ully, Ijan, Boboi dan Jay mereka berasa cukup bertuah kerana dapat mengikuti percutian ini. Jelas mereka, ia satu pengalaman yang cukup berharga dan di luar ekspektasi mereka.
"Kami memang suka percutian berkonsepkan alam semulajadi. Tetapi Tanah Aina memberi satu pengalaman baru. Tak sangka ada lokasi percutian sebegini dan paling penting ia melangkaui ekspektasi kami. Segalanya sempurna. Bilik tidur cukup selesa sehingga rasa malas hendak meninggalkan katil.
"Bilik mandi juga sangat memuaskan. Macam penginapan bertaraf lima bintang. Tidak seperti kebanyakan hotel atau resort yang mengetengahkan konsep yang sama. Satu lagi kelainan Tanah Aina ialah ia turut menyelitkan sesi pendidikan untuk menyedarkan pengunjung tentang pencemaran alam yang semakin berleluasa. Kami rasa, Tanah Aina unik dan punya tarikan tersendiri. Tak mustahil kami akan kembali ke sini" ujar Ully mewakili rakan-rakan lain.
Sementara itu, Ijan turut memberitahu dia dan rakan-rakan sangat seronok dengan aktiviti perkelahan di air terjun berhampiran.
"Walaupun perjalanan ke lokasi perkelahan itu memakan sedikit masa, tetapi ia berbaloi. Dengan airnya yang sejuk dan jernih, ia membuatkan sesiapa sahaja tidak sabar hendak mandi-manda di sana. Bukan itu sahaja, kami juga dapat menguji keberanian kami dengan terjun daripada pelantar setinggi 15 kaki. Mula-mula memang rasa berdebar-debar, tetapi setelah lakukannya sekali, terasa ingin lakukannya sekali lagi," ujar Ijan.
Dalam masa yang sama, Awan Band juga gembira dapat menghabiskan masa bersama-sama pembaca GUA. Mereka menganggap ia peluang untuk memperkenalkan kumpulan mereka secara lebih dekat kepada peminat.
Apa pula komen pembaca GUA yang bertuah? Adakah mereka seronok dengan percutian ini? Menurut Rosnani Md. Dan, 21, dia berasa sangat bertuah dan bangga kerana dapat menghabiskan masa bersama Awan Band dan juga team GUA. Baginya, pengalaman itu cukup berharga dan dia tidak mungkin akan melupakannya.
Bagi Norimy Mat Salleh, 21, pula, dia sukakan konsep percutian yang mendekatkannya dekat alam semulajadi. Malah, turut mengakui mendapat pelbagai pengalaman menarik yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan yang tidak dapat turut serta.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Tanah Aina, jangan lupa membaca ulasan mengenai tempat ini dalam artikel seterusnya.
|
You are subscribed to email updates from Awan Band - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan